KAJIAN-KAJIAN SAINTIFIK TERHADAP MADU LEBAH (Bahagian 2)
Di dalam artikel yang pertama dahulu, saya ada menyatakan kaedah-kaedah asas untuk menentukan ketulinan dan kualiti
madu lebah. Ia meliputi kaedah manual/tradisional dan kaedah makmal. Seterusnya saya akan menerangkan pula dua kaedah
kajian iaitu yang pertama; kajian yang telah dijalankan oleh para saintis di makmal dan yang kedua; kajian yang dijalankan
oleh para doktor terhadap pesakit-pesakit.
Sebelum itu saya ingin menegaskan bahawa selain faktor ketulinan madu, faktor yang sama pentingnya adalah kualiti dan
pengredan madu. Dengan kata lain, madu yang tulin dan berkualiti. Perkara ini penting kerana ada madu yang sah tulin tetapi
kurang berkualiti. Dalam masa yang sama, janganlah kita lekas mempertikai atau memperlekehkan madu yang benar-benar tulin
walau dari mana asalnya sama ada dari hutan, pergunungan, yang dipelihara atau diambil terus dari sarang. Ini kerana bagi
saya madu ini adalah anugerah Allah kepada manusia. Yang penting kepada semua pengusaha, penjual dan pengedar madu, kita harus
ikhlas dan jujur menyatakan madu mereka dari mana dan jelas ketulinannya. Ini kerana saya bimbang oleh kerana ingin
sangat mengatakan ‘kehebatan’ dan ketulinan madu masing-masing, sanggup mereka-reka atau menokok tambah
cerita dan cuba memburuk-burukkan madu yang dijual oleh orang lain.
Pesanan khusus saya kepada mereka yang terlibat dengan MADU KHAULA. Diharap tidak memperlekehkan madu lain apalagi jika
madu itu benar-benar tulin, dan pada masa yang sama tidak perlu melatah jika Madu Khaula ini dipertikaikan oleh pihak lain.
Kita perlu faham bahawa Madu Khaula ini diperolehi dari sumber yang jelas pengusaha dan pembekalnya dikenali dan tidak melalui
orang tengah malah bukan madu rojak ( madu yang dikumpul dari banyak sumber kemudian dibotolkan).
Tuan-Tuan dan Puan-Puan pembaca yang budiman, sebenarnya saya lebih berminat untuk membicarakan beberapa penemuan
dan kajian yang di jalankan oleh doktor-doktor, termasuk doktor pakar perubatan serta oleh ahli-ahli biologi yang merawat
pesakit mereka dengan madu lebah. Kebanyakan mereka dari Rusia, Amerika, England, New Zealand dan dari Timur Tengah. Ada antara
mereka telah membuat kajian secara serius dengan mengemukakan statistik dan ada yang melakukan untuk rujukan diri sendiri.
Madu sebagai antiseptik. Di antara pengkaji penggunaan madu adalah seorang Ahli Biokimia, Dr. Peter
Molan dari Universiti Waikato, New Zealand telah berjaya menemukan ‘natural hydrogen peroxide’, NHP (Hidrogen
Peroksida Semulajadi) iaitu bahan yang dapat membunuh bakteria. Dengan kata lain, madu bertindak sebagai antiseptik. Satu
kenyataan penting beliau ialah " enzim dan asid amino yang terdapat di dalam madu yang mengeluarkan ‘hydogen peroxide’,
iaitu dikenali sebagai antiseptik”. Madu tulin dapat merawat luka atau bisul dengan amat berkesan. Bagi luka yang terbuka
sebaiknya ditutup dengan kain gauze setelah disapu madu dan ditukar 2-3 kali sehari. Lakukan untuk 3 hari, termasuk luka yang
disebabkan oleh kesan terbakar atau terkena air panas khususnya bagi kawasan luka yang tidak menyeluruh. Kajian Dr Molan ini
agak menarik kerana tidak semua sampel madu yang diambil mengandungi paras NHP yang sama.Di mana beliau dapati ada madu yang
lambat memberi kesan kepada luka yang dirawati. Ini adalah bukti yang menyatakan bukan semua madu tulin itu berkualiti. NHP
hasilkan oleh enzim yang terdapat di dalam madu.
Sifat serap air madu telah lama di ketahui, ini disebabkan perbezaan kelikatan iaitu berlaku proses osmosis. Contoh mudah
jika botol madu direndam air untuk menghalang semut, kita akan dapati madu tersebut semakin cair dan air semakin kering. Kesan
serap air ini, akan menyebabkan bisul atau abscess yang bengkak bernanah akan cepat ‘kecut’ jika dibalut dengan
madu. Dr. Molan juga membuat kajian di makmal di mana bakteria ‘streptococcus pygones’ iaitu bakteria penyebab
sakit tekak, di mana bakteria ini tidak dapat membiak di dalam madu dan mati. Hiruplah madu dan simpan seketika di dalam mulut,
InsyaAllah akan melegakan sakit tekak anda.
Madu sebagai anti-fungal. Ahli mikrobiologi Rusia telah membuat kajian dengan sampel beberapa jenis
fungal ( kulat ) dan didapati kulat ini tidak dapat membiak dan mati mengikut kadar masa yang berbeza-beza. Secara manual
juga kita TIDAK akan dapat melihat kulat ‘melekat’ pada madu yang terdedah. Tetapi jika kita perhatikan dodol
yang sangat manis sekalipun akan terdapat kulat melekat selepas beberapa lama. Ada beberapa orang doktor dari Rusia
telah menggunakan madu untuk disapukan kepada jangkitan kulat (mycosis) di kulit dan kuku di mana didapati dapat menghilangkan
jangkitan kulat tersebut.
(Saya sendiri ada pengalaman terhadap pesakit saya, insyaAllah akan di bincang pada tulisan akan datang, di mana saya
sedang memantau seorang pesakit yang mengalami sakit kulat kuku-kuku jari tangan yang teruk dengan mengambil beberapa siri
gambar untuk dibuat perbandingan selepas beliau minum dan menyapu Madu Khaula).
Madu sebagai Anti-tumor. Kajian yang di lakukan oleh Dr. Pashinskii, dari Moscow, Rusia, di mana ujian
di lakukan terhadap tikus, beliau menyatakan “ …indicated that honey possessed moderate anti-tumor and pronounced
anti-metastatic effects in five different of rat and mouse tumors”. Anti-metastatic ialah menghalang tumor ( kanser)
merebak ke tempat lain. Namun sebagai doktor perubatan , saya sendiri bersetuju dengan pendapat beberapa doktor lain, madu
bukanlah rawatan ‘istimewa’ untuk melawan kanser. Kanser adalah satu penyakit yang memepunyai skop yang luas dan
kompleks. Saya mencadangkan kepada mereka yang terlibat dengan perniagaan madu, jangan sewenang-wenangnya menyatakan madu
boleh merawat kanser. Kanser adalah antara penyakit pembunuh utama, sebaiknya boleh menasihatkan sebagai rawatan alternatif
yang diambil bersama dengan rawatan konvensional di hospital. HARUS DIINGAT MADU BOLEH DIAMBIL DENGAN SEMUA UBAT
. Saya tidak bersetuju dengan kenyataan beberapa penulis buku tempatan yang menyatakan madu tidak boleh dimakan bersama
ubat darah tinggi, kencing manis dan ubat-ubat lain. Madu adalah makanan tambahan. Kemungkinan yang berlaku adalah madu yang
dimakan itu adalah dari jenis madu yang diadun bersama rempah ratus atau bahan-bahan lain tidak sesuai dimakan bersama
ubat-ubat hospital.
Madu sebagai Anti-ulser perut ( gastric ulcer). Helicobacter Pylori adalah bakteria yang menyebabkan
ulser perut, kajian yang di jalankan oleh Dr Molan juga mengesahkan bakteria ini tidak membiak dan mati di dalam madu tulin
dalam jangka masa dua hari. Beliau juga mendapati bukan semua sampel madu yang digunakan akan bertindak membunuh bakteria
ini. Dr. Schacht dari Wiesbaden, seorang ‘physician’ mengatakan pengalaman beliau di mana beberapa pesakit kronik
ulser perut telah sembuh dengan mengamalkan madu tanpa memerlukan pembedahan. Terdapat seorang pesakit yang tidak sembuh
dan beliau yakin bahawa madu yang digunakan itu tidak tulin seperti sebelumnya.